SHAH ALAM: Penampilan pengacara, Elly Mazlein dalam program hiburan All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu lalu  sedikit sebanyak mendapat kritikan hebat daripada sesetengah warga net.

Namun begitu, Elly atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina menyatakan beliau tidak mengambil hati malah menerima setiap pendapat dan kritikan yang diberikan kepadanya semasa mengacarakan program itu.

“Kak Lina sentiasa menerima (kritikan) sebab Kak Lina dah berada dalam industri lebih daripada 20 tahun, jadi Kak Lina tahu benda ini biasa dalam kehidupan seorang artis.

“Orang biasa pun kadang-kadang kita tak kenal dia tiba-tiba dia tak suka kita.. macam Kak Lina kata Kak Lina tak mampu nak hiburkan semua dan mereka mungkin hari ini tidak suka tetapi esok lusa mereka suka pula,” katanya ketika ditemui media awal pagi ini.

Pada masa sama, Elly juga menyatakan bahawa karakter Kak Lina Pom Pom itu adalah satu karakter yang diwujudkanya bagi mewarnai program yang dikendalikannya.

"Kalau 24 jam saya bawakan watak Kak Lina Pom Pom pun, penat juga. Kalau di rumah, saya seperti biasa dengan watak diri saya begini.

"Cumanya, bila saya dah berada di atas pentas, saya kena pelbagaikan watak sebab kita mengendalikan program hiburan," ujarnya.

Elly menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ASGV bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse selama 12 minggu.

All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan dipancarkan secara terus menerusi saluran Astro Ria (104).